Saturday, December 26, 2009

SUARA KEADILAN VERSI CINA DILANCARKAN

Kuantan - 26 Dis 2009. Majlis pelancaran rasmi akhbar Suara Keadilan versi Bahasa Cina (Ghong Zeng Bao) telah diadakan di Pasar Pagi, Taman Angkasa dekat sini. Majlis yang bermula sekitar jam 9.00 pagi itu telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail. Turut hadir ialah Tn. Syed Mohamad Tn Lonik (ADUN Beserah), Kamarul Hatta (Timbalan Ketua AMK Pahang) sertai lain-lain pimpinan Pakatan Rakyat dari PKR, PAS dan DAP. Majlis pelancaran Ranting Parti Keadilan Rakyat Air Putih turut diadakan serentak. Dengan terlancarnya akhbar Suara Keadilan versi bahasa Cina ini, ia diharap akan menjadi pemangkin untuk memberikan maklumat yang lebih tepat dan telus kepada masyarakat kaum Cina di kawasan ini. Sokongan rakyat terutamanya kaum Cina terhadap Pakatan Rakyat telah dicemburui oleh puak-puak UMNO dengan memberikan berbagai alasan yang tidak masuk dek akal. Antaranya mengatakan Pakatan Rakyat ingin menjual negara kepada orang Cina, dan macam-macam lagi. Mereka menggunakan isu ketuanan Melayu sebagai asas perjuangan, walhal mereka lupa bahawa UMNO adalah parti yang telah banyak menjual negara ini sebenarnya. Malahan mereka juga bersahabat dengan kaum Cina seperti MCA dan Gerakan. Terkadang mereka lupa apa yang telah mereka lakukan.
Petikan dari pahangdaily.blogspot.com.

Sunday, December 20, 2009

PROGRAM "BACK TO SCHOOL" PARLIMEN KUANTAN

Kuantan - 20 Disember 2009. Satu majlis ringkas yang dinamakan “Back To School” telah diadakan di perkarangan Pejabat Ahli Parlimen Kuantan. Majlis penyerahan kupon kepada 100 orang anak yatim dan miskin di sekitar Parlimen Kuantan untuk membeli peralatan dan keperluan persekolahan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh. Majlis tersebut diadalah bermula pukul 10 pagi dan berakhir pada pukul 1.30 tengahari. Sempena bermulanya musim baru persekolahan pada awal bulan Januari 2010 nanti, YB Fuziah berharap pemberian kupon itu akan dapat meringankan beban ibu bapa untuk membeli peralatan dan keperluan persekolahan anak-anak. Beliau menyatakan akan sentiasa memberi komitmen yang tinggi bagi membantu golongan yang memerlukan. Beliau juga menyeru kepada mereka yang berada supaya turut mengeluarkan sumbangan bagi membantu golongan miskin. Ini kerana harta kekayaan yang diperolehi adalah anugerah Allah SWT dan sebahagiannya adalah menjadi hak golongan miskin. Ibu bapa yang ditemui turut menyatakan kesyukuran kepada Allah kerana bantuan seumpama ini dapat meringankan beban mereka. Pertambahan beban kehidupan semakin terasa akibat kenaikan harga barang-barang keperluan. Oleh itu mereka amat berterima kasih kepada Ahli Parlimen Kuantan di atas usaha murninya ini. YB Fuziah juga menyeru agar golongan korporat turut sama membantu mereka yang susah dan miskin. Keperihatinan masyarakat terhadap nasib yang menimpa golongan ini akan dapat membentuk satu budaya tolong menolong dan kasih sayang sesama insan. Beliau juga menyatakan rasa kesal kerana sebagai seorang Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat di dalam pilihanraya yang lalu tidak diberikan sebarang peruntukan oleh kerajaan pusat. Ini berbeza dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional yang diberi peruntukan sebanyak RM 1 juta setahun untuk parlimen masing-masing.Tindakan kerajaan ini menunjukkan mereka tidak dapat membezakan di antara politik dan pentadbiran sekaligus menandakan mereka masih tidak matang dalam aspek menguruskan negara. Sebagai orang yang dipilih oleh rakyat untuk menjadi wakil mereka, semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri mesti diberi peruntukan tanpa mengira mereka dari parti politik mana sekalipun. Oleh yang demikian langkah kerajaan ini sebenarnya adalah satu penghinaan terhadap rakyat yang telah membuat pilihan mereka sendiri.

Thursday, December 17, 2009

PERTEMUAN DENGAN MEDIA: MENJELASKAN ISU PERMOHONAN TANAH SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN (C) DI BESERAH

Indera Mahkota - 17 Disember 2009. Berikutan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina pada 16hb Disember, 2009 bahawa PKR dan PAS tidak membantu sekolah berkenaan untuk mendapatkan tanah bagi tujuan membesarkan sekolah tersebut, Dato' Fauzi abdul Rahman, Pengerusi PKR Pahang telah tampil memberikan kenyataan balas. Dato’ Fauzi menyatakan isu permohonan tanah oleh sekolah berkenaan bermula dari tahun 2004 lagi. Pihak Lembaga Pengelola Sekolah telah membuat permohonan kepada Dato’ Faisal (UMNO). Dato’ Faisal telah menubuhkan jawatankuasa mengkaji permohonan tersebut tetapi sehingga sekarang tiada khabar berita. Walau pun DUN Beserah diwakili oleh PAS dan Parlimen Indera Mahkota diwakili oleh PKR, namun Pakatan Rakyat bukanlah parti yang membentuk kerajaan di Pahang. Oleh itu PR tidak mempunyai kuasa untuk memberikan tanah kepada sekolah tersebut atau mana-mana pihak yang memohon. Walau bagaimanapun beliau menasihati pihak sekolah agar datang berjumpa dengan Wakil Rakyat PR sama ada Ahli Parlimen mahupun ADUN untuk berbincang. PR akan membantu membawa perkara ini kepada pengetahuan kerajaan negeri. Dato’ Fauzi juga memaklumkan semasa beliau menjadi ADUN Beserah (1999 – 2004) banyak permohonan tanah telah beliau selesaikan tanpa mengira kaum dan fahaman politik. Beliau juga telah berusaha membantu sekolah berkenaan. Beliau telah berbincang dengan pemilik tanah bersebelahan sekolah tersebut supaya menjual tanah berkenaan bagi tujuan membesarkan sekolah tetapi pemilik itu tidak mahu menjualnya. Beliau juga mempersoalkan Dato’ Faisal yang juga wakil Menteri Besar dalam urusan tanah (yang mempunyai kuasa) di Daerah Kuantan tidak membantu sekolah berkenaan.Sementara itu ADUN Beserah, YB Syed Muhammad menyatakan pihaknya sedia membantu membawa isu sekolah ini kepada pihak berkuasa jika pihak sekolah datang berjumpa dan mengemukakan dokumen permohonan tanah. Beliau berkata Wakil Rakyat PR sedia pada bila-bila masa untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama dan status. Beliau juga menyatakan dihalang pergi ke sekolah-sekolah untuk membuat lawatan dan mengadakan perbincangan dengan guru-guru. Beliau sanggup membantu sesiapa sahaja dan bersedia memberi khidmat pada bila-bila masa.

Wednesday, December 16, 2009

MESYUARAT BIRO POLITIK PKR PAHANG

Kuantan - 12 Disember 2009. Mesyuarat Biro Politik PKR Negeri Pahang yang pertama telah diadakan di pejabat PKR Negeri Pahang. Mesyuarat telah dihadiri oleh semua jawatankuasa yang dilantik. Biro Politik PKR Pahang telah membahagikan Pahang kepada 3 Zon iaitu Pahang Timur mengandungi Cabang Kuantan, Indera Mahkota, Paya Besar, Pekan dan Rompin; Pahang Tengah mengandungi Cabang-Cabang Temerloh, Kuala Krau, Bera, Maran dan Jerantut dan Zon Pahang Barat yang mengandungi Cabang-Cabang Lipis, Raub, Cameron Highlands dan Bentong. Zon Timur diketuai oleh Datuk Fauzi Abdul Rahman; zon Tengah oleh Haji Suhaimi Said dan zon Barat oleh Sdr Zakaria Hamid.
Pengurusan mengikut zon ini adalah untuk memperkuatkan PKR dengan penubuhan Ranting-Ranting baru serta penambahan anggota-anggota, dan bertujuan untuk memenangi semua kerusi-kerusi yang bakal ditandingi oleh PKR samada diperingkat Parlimen atau DUN dan mengadakan koordinasi yang rapat dan erat dengan parti-parti didalam Pakatan Rakyat untuk memenangi Pilihanraya Umum akan datang bagi PR di Negeri Pahang.

Majlis Dialog Dengan Peneroka-Peneroka Felda di Jerantut

Jerantut - 14 Disember 2009. Satu majlis dailog diantara peneroka-peneroka Felda Padang Piol, Sg. Retang dan Kota Gelanggi 3 dan Pengerusi Biro Hal Ehwal Felda PKR Pahang, Haji Suhaimi Said telah diadakan di Felda Padang Piol, Jerantut. Majlis dialog ini dianjurkan oleh pemimpin-pemimpin Peneroka Felda Padang Piol, Sg Retang dan Kota Gelanggi 3. Dalam ucapannya, Haji Suhaimi menerangkan bahawa beliau dan rakan-rakan telah menjelajah ke seluruh kawasan rancangan Felda di seluruh Negara di awal tahun 1980-an bagi memperjuangkan hak peneroka-peneroka Felda bagi mendapatkan hakmilik individu keatas tanah-tanah ladang mereka walaupun ditentang habis-habisan oleh UMNO dan Felda pada ketika itu. Beliau ditahan dibawah ISA atas tuduhan kononnya memecahbelahkan masyarakat Felda. Haji Suhaimi juga menerangkan bahawa beliau dan rakan-rakan telah mempersoalkan isu baja yang diberikan kepada Peneroka-Peneroka yang bermutu rendah; masalah jalan pertanian yang dikenakan kos bayaran kepada peneroka-peneroka Felda sedangkan jalan pertanian tidak dibuat dengan sempurna. Masalah perwarisan dibawah Undang-Undang Tanah Group Settlement Act tidak berjaya menyelesaikan isu perwarisan di dalam rancangan Felda, yang akhirnya menjadikan golongan Generasi Kedua dan Ketiga golongan yang merempat selepas kematian ibu-bapa mereka. Beliau menuntut supaya Felda Plantation dibubarkan dan kawasan-kawasan Estet Felda yang dikendalikan oleh Felda Plantation diserahkan kepada anak-anak Peneroka di seluruh Negara. Jika ini disempurnakan maka 79,000 anak-anak peneroka boleh ditempatkan dikawasan-kawasan yang kini dikendalikan dibawah Felda Plantation. Haji Suhaimi kesal kerana Felda tidak sudah-sudah mendatangkan masalah kepada peneroka-peneroka Felda termasuklah isu perahan, isu wang tahanan hingga 20% bagi setiap hantaran buah kelapa sawit ke Kilang Felda menggunakan resit/akaun Felda, isu lesen MPOB yang tidak lagi dibenarkan kepada peneroka-peneroka, isu pembangunan didalam rancangan Felda yang keseluruhannya ditanggung oleh peneroka-peneroka. Beliau juga menimbulkan isu keengganan Felda mengembalikan wang dari Tabung Tanaman Semula kepada peneroka-peneroka Felda yang mahu menanam sendiri, dan isu peneroka-peneroka yang menanam melalui Felda yang dikenakan kos pengurusan dan penanaman yang bukan-bukan iaitu dengan memasukkan kos seperti tanaman kacang bumi yang tidak dibuat oleh Felda Technoplant. Diakhir ucapannya, Haji Suhaimi mengatakan bahawa isu dan masalah yang dihadapi oleh Peneroka-Peneroka Felda dan Generasi Kedua dan Ketiga di tanah-tanah Rancangan Felda adalah isu politik. Selagi Barisan Nasional memerintah Negara ini, selagi itulah tidak akan selesai masalah-masalah itu kerana Barisan Nasional sudah engkar dengan tujuan utama penubuhan Felda iaitu pembasmian kemiskinan diluar bandar dengan dasar untuk penglomeratan Felda untuk kepentingan Felda membelakangkan peneroka-peneroka dan generasi kedua dan ketiga. Peneroka-peneroka harus berani untuk merubah Kerajaan yang sedia ada menggantikan dengan Kerajaan baru dibawah Pakatan Rakyat.

Sunday, December 13, 2009

MAJLIS PERASMIAN PENUBUHAN RANTING PKR FELDA PANCHING TIMUR

Paya Besar, 13 Disember 2009. Majlis Perasmian Penubuhan Ranting Parti Keadilan Rakyat Felda Panching Timur telah dirasmikan oleh Dato' Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Pahang. Majlis tersebut telah diadakan tepat jam 2.30 petang, bertempat di Markas PKR Ranting Felda Panching Timur. Turut hadir di dalam majlis tersebut ialah Tuan Haji Zahari Mamat, Ketua Cabang PKR Paya Besar, Tuan Haji Adnan Mohd Lazim, Pengerusi Biro Ekonomi & Kewangan PKR Pahang, Zaidi Ahmad, Pengarah Sekretariat PKR Pahang, Kamarul Hatta Mohamed Ali, Timbalan Ketua AMK Pahang dan wakil PAS Paya Besar. Berikutan penubuhan Ranting Felda Panching Timur ini seramai 50 orang telah mendaftar sebagai ahli baru PKR. Ranting PKR Felda Panching Timur ini merupakan ranting ke 15 di dalam Cabang Paya Besar. Usaha kuat Haji Zahari Mamat dan AJK Cabang Paya Besar yang bergerak aktif ke seluruh kawasan Parlimen Paya Besar telah berjaya menyedarkan penduduk di sini tentang kebaikkan perjuangan PKR. Difahamkan terdapat seramai lebih kurang 150 orang lagi peneroka dan penduduk Felda Panching Timur akan mendaftar sebagai ahli dalam masa terdekat. Di dalam ucapannya Haji Zahari menyatakan PKR Cabang Paya Besar akan terus turun padang untuk mendengar permasalahan penduduk di Parlimen Paya Besar. Bukan sahaja mendengar permasalahan tetapi PKR juga akan membantu mereka menyelesaikannya. Ini terbukti apabila PKR memberi khidmat guaman percuma kepada peneroka Felda Panching Utara dan Selatan yang menghadapi kerugian akibat kesan timbunan pasir kuari berdekatan.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Biro Felda PKR Pahang dan Naib Pengerusi Biro Felda PKR Pusat menyatakan bahawa sekiranya PKR diberi mandat mentadbir negara pada pilihanraya akan datang, Felda Plantation akan dimansuhkan dan diganti dengan Tanah Rancangan Felda Berpeneroka. Ladang-ladang Felda Plantation akan dipecahkan lot dan diberi kepada Generasi Kedua Felda. Sementara itu Dato ' Fauzi di dalam ucapannya menegaskan bahawa Felda sekarang telah jauh menyimpang daripada matlamat asal penubuhan. Sekarang Felda mahu menjadi sebuah konglomerat perladangan terbesar dunia sehingga lupa kepada nasib yang menimpa golongan peneroka dan generasi mereka. Ini sangat menyimpang dari matlamat untuk membangunkan ekonomi rakyat khususnya peneroka. Tidak guna kita ada konglomerat jika rakyat hidup susah, katanya lagi. Menyedari perkara ini, PKR bangkit untuk memperjuangkan hak-hak peneroka dan generasi mereka. Beliau turut menyeru semua peneroka bersatu bersama-sama PKR dan bangkit menuntut hak mereka. Hanya PKR satu-satunya parti politik yang telah menubuhkan Biro Felda bagi membantu menangani masalah-masalah yang melanda peneroka. Beliau menyatakan rasa kesal kerana UMNO/BN sentiasa memainkan isu pembangunan negara untuk memancing undi dan mendapatkan sokongan rakyat. Sedangkan katanya, apa guna pembangunan negara jika rakyat
hidup sengsara dan terhimpit dengan beban hidup yang semakin tinggi. Oleh itu PKR memperjuangkan pembangunan rakyat kerana jika rakyat membangun dan maju dalam bidang ekonomi maka negara turut membangun.
Bimbang dengan penubuhan PKR Ranting Felda Panching Timur, UMNO telah mengadakan program segera lebih kurang 100 meter dari markas PKR tersebut.Mereka telah tergesa-gesa mengadakan persembahan nyanyian dan kugiran dengan harapan dapat mengganggu majlis perasmian tersebut. Walaupun mengadakan persembahan hiburan namun tidak mendapat sambutan penduduk setempat. Inilah cara UMNO yang sentiasa mengeksploitasi segala sumber yang ada. Mereka sentiasa menyajikan budaya yang tidak sihat kepada orang ramai terutama golongan muda, tambah Dato' Fauzi lagi. Walau bagaimanapun hanya lebih kurang 10 orang sahaja anak muda yang hadir. Itupun kelihatannya masih di bawah umur. Beliau telah menyampaikan hamper kepada seorang AJK PKR Ranting Felda Panching Timur yang kebetulan menyambut hari lahirnya pada hari tersebut. Dato' Fauzi juga telah menerima 70 borang keahlian baru dari Suhaimi Sidek, Ketua Ranting Felda Panching Timur. Majlis tersebut diakhiri dengan jamuan ringan dan ramah mesra.

PAPAN TANDA LOKASI PENEMPATAN DAERAH BERA

11/12/2009 - Bera. Berbanding di daerah lain yang telah lama wujud apatah lagi sudah maju kehadapan seperti daerah Kuantan, Temerloh serta Bentong, Daerah Bera masih terdapat papan tanda lokasi penempatan serta kawasan pelancongan walaupun ia kini sudah kelihatan usang.Sebenarnya ramai orang tidak perasan dimana papan tanda ini berada? Bukan setakat penduduk daerah lain tetapi penduduk di Bera ini sendiri ramai yang tidak pasti dimanakah lokasi papan tanda ini berada?Papan tanda ini secara jelasnya menunjukkan kawasan penempatan penduduk, lokasi pelancongan, tempat untuk memancing, berkayak serta juga lokasi penempatan orang asal (asli) di Bera.Papan tanda ini adalah satu-satunya yang masih tinggal dan teguh berada di persimpangan utama Bandar Bera (Simpang Kerayong) untuk tatapan dan rujukan orang ramai sekiranya berada di Bera.Sepatutnya pihak Majlis Daerah Bera (MDB) perlu memperbanyakkan lagi papan-papan tanda untuk memperkenalkan lagi daerah Bera ini kepada umum apatah lagi daerah ini mempunyai banyak tempat perlancongan untuk di lawati serta dibangun.

Friday, December 11, 2009

Majlis Penerangan PKR di Kg Paya Mengkuang

09/11/2009 - Temerloh. Majlis penerangan Parti Keadilan Rakyat di Kg Paya Mengkuang, Temerloh, Pahang meninggalkan kesan yang begitu hebat kepada penduduk Orang Asal di kampong tersebut. Suatu Majlis yang tidak disangka-sangka dihadiri oleh hampir setiap penduduk kampong tersebut dengan kehadiran melebihi 300 orang.
Majlis itu juga mencatatkan sejarah kerana begitu ramai pemimpin-pemimpin KEADILAN Negeri Pahang yang hadir termasuklah Datuk Fauzi Abdul Rahman selaku Pengerusi Negeri, Sdr Mohd Nor Jaafar selaku Timbalan Pengerusi Negeri, Anggota-Anggota Jawatankuasa yang hadir termasuklah Sdr Bostamin Bakar, Sdr Haji Zahari Mamat, Sdr Zaidi Ahmad, Sdr Mohd Hatta, Sdr Hafez Harun dan Sdr Jamil, dan turut hadir dengan memberikan ceramah yang sangat hebat adalah Felicia Ling, Pengerusi PKR Cabang Cheras.
Turut hadir adalah Sdr Rusli Ahmad, Naib Pengerusi Biro Hal Ehwal Felda, Sdr Mohd Sain, bekas calon PKR DUN Lanchang, dan pimpinan Wanita Kuala Krau termasuklah Pn Zaida Husin, Pn Anita Karim dan Pn Hendon Jaafar.
Sdr Yusri Ahon, Timbalan Pengerusi Biro Hal Ehwal Orang Asal; Sdr Shafie Deris, Naib Pengerusi Biro Hal Ehwal Orang Asal; dan Sdr Kin Kasim, Naib Pengerusi Biro Hal Ehwal Orang Asal turut hadir dan berucap di Majlis tersebut. Majlis yang dianjurkan oleh Biro Hal Ehwal Orang Asal PKR Pahang untuk PKR Cabang Temerloh itu adalah suatu kejayaan diluar dugaan.
Majlis ini mencatatkan sejarah kerana inilah kali pertama kampong ini menjadi tuan rumah kepada Majlis Penerangan mana-mana parti pembangkang, dan kampong ini terkenal dengan kekuatan UMNO dimana 100% penduduknya tidak pernah menyertai mana-mana parti pembangkang.
Pada malam Majlis itu diadakan seramai 10 orang penduduk memohon menjadi anggota Parti Keadilan Rakyat, dan Sdr Roman Achai yang menjadi tuan rumah kepada Majlis itu menyatakan bahawa golongan majoriti daripada penduduk kampong itu akan menyertai PKR dan sebuah Ranting Parti Keadilan Rakyat akan ditubuhkan sebelum berakhir tahun 2009.