Sunday, December 13, 2009

MAJLIS PERASMIAN PENUBUHAN RANTING PKR FELDA PANCHING TIMUR

Paya Besar, 13 Disember 2009. Majlis Perasmian Penubuhan Ranting Parti Keadilan Rakyat Felda Panching Timur telah dirasmikan oleh Dato' Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Pahang. Majlis tersebut telah diadakan tepat jam 2.30 petang, bertempat di Markas PKR Ranting Felda Panching Timur. Turut hadir di dalam majlis tersebut ialah Tuan Haji Zahari Mamat, Ketua Cabang PKR Paya Besar, Tuan Haji Adnan Mohd Lazim, Pengerusi Biro Ekonomi & Kewangan PKR Pahang, Zaidi Ahmad, Pengarah Sekretariat PKR Pahang, Kamarul Hatta Mohamed Ali, Timbalan Ketua AMK Pahang dan wakil PAS Paya Besar. Berikutan penubuhan Ranting Felda Panching Timur ini seramai 50 orang telah mendaftar sebagai ahli baru PKR. Ranting PKR Felda Panching Timur ini merupakan ranting ke 15 di dalam Cabang Paya Besar. Usaha kuat Haji Zahari Mamat dan AJK Cabang Paya Besar yang bergerak aktif ke seluruh kawasan Parlimen Paya Besar telah berjaya menyedarkan penduduk di sini tentang kebaikkan perjuangan PKR. Difahamkan terdapat seramai lebih kurang 150 orang lagi peneroka dan penduduk Felda Panching Timur akan mendaftar sebagai ahli dalam masa terdekat. Di dalam ucapannya Haji Zahari menyatakan PKR Cabang Paya Besar akan terus turun padang untuk mendengar permasalahan penduduk di Parlimen Paya Besar. Bukan sahaja mendengar permasalahan tetapi PKR juga akan membantu mereka menyelesaikannya. Ini terbukti apabila PKR memberi khidmat guaman percuma kepada peneroka Felda Panching Utara dan Selatan yang menghadapi kerugian akibat kesan timbunan pasir kuari berdekatan.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Biro Felda PKR Pahang dan Naib Pengerusi Biro Felda PKR Pusat menyatakan bahawa sekiranya PKR diberi mandat mentadbir negara pada pilihanraya akan datang, Felda Plantation akan dimansuhkan dan diganti dengan Tanah Rancangan Felda Berpeneroka. Ladang-ladang Felda Plantation akan dipecahkan lot dan diberi kepada Generasi Kedua Felda. Sementara itu Dato ' Fauzi di dalam ucapannya menegaskan bahawa Felda sekarang telah jauh menyimpang daripada matlamat asal penubuhan. Sekarang Felda mahu menjadi sebuah konglomerat perladangan terbesar dunia sehingga lupa kepada nasib yang menimpa golongan peneroka dan generasi mereka. Ini sangat menyimpang dari matlamat untuk membangunkan ekonomi rakyat khususnya peneroka. Tidak guna kita ada konglomerat jika rakyat hidup susah, katanya lagi. Menyedari perkara ini, PKR bangkit untuk memperjuangkan hak-hak peneroka dan generasi mereka. Beliau turut menyeru semua peneroka bersatu bersama-sama PKR dan bangkit menuntut hak mereka. Hanya PKR satu-satunya parti politik yang telah menubuhkan Biro Felda bagi membantu menangani masalah-masalah yang melanda peneroka. Beliau menyatakan rasa kesal kerana UMNO/BN sentiasa memainkan isu pembangunan negara untuk memancing undi dan mendapatkan sokongan rakyat. Sedangkan katanya, apa guna pembangunan negara jika rakyat
hidup sengsara dan terhimpit dengan beban hidup yang semakin tinggi. Oleh itu PKR memperjuangkan pembangunan rakyat kerana jika rakyat membangun dan maju dalam bidang ekonomi maka negara turut membangun.
Bimbang dengan penubuhan PKR Ranting Felda Panching Timur, UMNO telah mengadakan program segera lebih kurang 100 meter dari markas PKR tersebut.Mereka telah tergesa-gesa mengadakan persembahan nyanyian dan kugiran dengan harapan dapat mengganggu majlis perasmian tersebut. Walaupun mengadakan persembahan hiburan namun tidak mendapat sambutan penduduk setempat. Inilah cara UMNO yang sentiasa mengeksploitasi segala sumber yang ada. Mereka sentiasa menyajikan budaya yang tidak sihat kepada orang ramai terutama golongan muda, tambah Dato' Fauzi lagi. Walau bagaimanapun hanya lebih kurang 10 orang sahaja anak muda yang hadir. Itupun kelihatannya masih di bawah umur. Beliau telah menyampaikan hamper kepada seorang AJK PKR Ranting Felda Panching Timur yang kebetulan menyambut hari lahirnya pada hari tersebut. Dato' Fauzi juga telah menerima 70 borang keahlian baru dari Suhaimi Sidek, Ketua Ranting Felda Panching Timur. Majlis tersebut diakhiri dengan jamuan ringan dan ramah mesra.

No comments:

Post a Comment